Friday, January 14, 2011

Puisi Buat Ibu yang Dikasihi




Ibu,
menatap wajahmu membawa sendu di hatiku
kerana, masih jelas setiap garisan halus
yang terpamer di lukisan wajahmu
Bila senyuman yang engkau ukirkan untukku
Masih jelas setiap lekuk penjuru
menghiasi di wajahmu
sewaktu kau merenung wajahku
Ah! terdetik di hatiku
bergetar di dalam kalbu
berbisik di hati sendiri
bahawa ibuku semakin dimamah usia
berapa banyak lagi masa yang ada untuk aku bersamanya?
Dapatkah aku membalas segala jasa-jasanya?
Cukukah aku berbakti kepada Ibuku?
Ibu,
Aku bukan siapa-siapa tanpa dirimu
terima kasih di atas segala-galanya
kasih sayang yang engkau curahkan
didikan yang telah engkau berikan
Tanpa mengira penat lelahmu
membanting tulang empat keratmu
untuk membesarkan aku menjadi insan yang dewasa
untuk memahami aku dalam mengenal dunia
InsyaAllah, akan aku jadikan bekalan di dunia
akan ku bawa sampai ke akhirat.
ku titip bersama sepotong doa
semoga Allah sentiasa memelihara dan menyayangi dirimu
sebagaimana kamu mencurahkan sepenuh hati dan kasihmu kepadaku.
Ibu,
ku menyusun sepuluh jari
memohon kemaafan dari mu
sekiranya diri ini pernah melukakan hatimu
sekiranya diri ini telah membuat hatimu berkecil dan terguris
sekiranya diri ini telah membuat dirimu menangis
tanpa kusedari hatta dalam sedar sekalipun
kerana terlalu menurut rasa hati
maafkanlah, ampunkanlah aku ibu
kerana syurga seorang anak terletak di bawah telapak kaki mu ibu
halalkanlah setiap titisan susumu
yang mengalir ke dalam tubuh ku ini.
Ibu,
inginku kucup tanganmu
inginku peluk tubuhmu
setiap waktu
untuk ku buktikan bahawa anak ini menyayangi dirimu
sebagaimana kamu menyayangi diri ini
semoga,segala kenangan aku bersama mu ibu
dari kecil sehingga aku telah bergelar seorang ibu
akan aku simpan kemas
di sebalik lipatan memori
akan aku susun rapi
di sudut ruangan hati.
INSYA ALLAH!





Karya kreatif
Azira Mohamad

No comments:

Post a Comment