Sunday, January 9, 2011

Ibu, Aku Sayang Kamu

Duhai anak-anak Umi...Sara Ummaira Dan Umar Hakimi,Pesanan Umi untuk anak-anak Umi yang dikasihi. Setiap urusan atau pergaulan kamu bersama kami iaitu ibu bapa kamu hendaklah kamu jaga dan pelihara segala sikap dan perilaku yang sopan serta disusuli dengan penuh rasa hormat terhadap kami. Dibawah ini, Umi ada senarai pendekkan etika-etika yang harus kamu contohi kelak sehingga kamu dewasa. Semoga apa yang umi warkahkan disini akan menjadi sesuatu yang bermanfaat suatu hari nanti untuk anak-anak Umi.

  • Bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekalipun. Mungkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita. Tetap tenang dan tetap bijak menjaga emosi dengan baik
  • Jangan membantah apabila ada pendapat yang berbeza. Pendapat perlu disampaikan dengan cara yang halus dan sopan, bukan dengan keras. Beza generasi, beza usia, beza pengalaman membuatkan ruang perbezaan semakin luas. Jangan bersikap kasar dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan. Tetaplah menjaga etika dengan mereka.
  • Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, jangan berteriak, membentak, bersuara dan bernada keras dalam berbicara dengan ibu bapa. Ya, memang sangat susah mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cubalah lakukan dengan baik.InsyaAllah, semuanya dapat di atasi dengan baik.
  • Meminta izin dan mencium tangan ibu bapa sebelum pergi atau selepas pulang. Kita menerapkan hal ini berdasarkan apa yang ibu bapa kita ajarkan sewaktu kita masih kecil dahulu. Kita pasti dapat merasakan kesan positif hasil tabiat ini.
  • Jangan sekali-kali memarahi ibu bapa walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Teguran mesti disampaikan secara sopan. Mengapa perkara ini disampaikan berulang kali, kerana ia penting untuk kita perhatikan. Jangan sekali kali membentak mereka meskipun mereka di pihak yang salah
  • Jangan mengajari, menasihati atau memberi ceramah kepada ibu bapa. Apabila mahu memberi pandangan atau apabila ibu bapa meminta pendapat kita, perlulah diberikan dengan sopan dan berhikmah. Mungkin banyak perbezaan pandangan, pendapat, pengetahuan dalam banyak perkara yang tidak mungkin pernah sama. Tetapi mereka berhak bagi mendapatkan cinta dan sayang dari kita.
  • Jangan sekali kali menyampuk perbicaraan ibu bapa. Jika etika ini kita terus lakukan hingga dewasa, ini akan menjadi nilai yang baik. Kita tahu bila sepatutnya bercakap dan bila kita perlu memerhati dengan baik.
  • Mengutamakan atau mendahulukan ibu bapa dalam segala aktiviti seperti memberikan tempat duduk, memulakan makan minum dan sebagainya. Akhlak ini jarang kita dapati pada jiwa anak muda hari ini.
  • Jangan sekali kali menyentuh kepala ibu bapa apabila sedang berhadapan atau berkomunikasi kecuali untuk tindakan tertentu seperti memotong rambut.
  • Apabila berhadapan dan berbicara dengan ibu bapa mesti bersikap sopan, tidak bercekak pinggang, tidak melutut, tidak bersuara keras dan membentak.
  • Apabila melihat ibu bapa dalam kesusahan seperti mengangkat beban berat dan mengerjakan pekerjaan berat yang lain tanpa diminta kita sepatutnya segera membantu.

No comments:

Post a Comment