Sunday, March 24, 2013

PENGALAMAN UMRAH: Kembara Mata Hati~ Part 2




MADINAH AL-MUNAWWARAH

Bismillah... 


Menuju Destinasi Cinta
Cinta Kekasih Allah.





Tiba di Lapangan Terbang Madinah sekitar 1.00 pagi waktu Madinah. Alhamdulillah. Saya memanjatkan syukur kepada-NYA. Satu demi satu urusan kami dipermudahkan-Nya. Sebelum kami melangkah turun dari pesawat, kami telah dimaklumkan oleh anak-anak pesawat kepada para jemaah umrah yang tidak berupaya yang mana memerlukan kerusi roda, sila duduk di tempat duduk masing-masing sehingga anak-anak kapal datang kepada mereka dengan membawa kerusi roda tersebut. Manakala bagi mereka yang tidak memerlukannya, seperti biasa berpusu-pusu turun melalui laluan yang disediakan. Kami tahu mereka semua juga sama seperti kami yang tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Kota Madinah atau disebut juga oleh Rasulullah sebagai Thabah yang bermakna sebuah negeri yang baik dan menyenangkan.

Sebaik sahaja kami menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Madinah, kami di suruh menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak Rayhar Travels yang mana akan membawa semua jemaah umrah terus ke hotel. Semuanya riang ceria kerana sebentar lagi kami semua akan berada di bumi yang dilimpahi berkat sebanyak dua kali ganda daripada Kota Mekah. Keberkatan dua kali ganda itu tentu sahaja bermaksud kepada hal-hal keduniaan manakala Mekah tetap melebihi Madinah dalam hal-hal yang berkaitan akhirat. Contohnya, menunaikan solat di Mekah pahalanya seratus ribu solat manakala solat di Masjid Nabawi pula pahalanya adalah seribu solat. Allahuakbar!





Kami tiba di hadapan Hotel Dallah Taibah lebih kurang pukul 1.30 pagi. Setinggi-tinggi  kesyukuran kami  rafa'kan kepada Allah Yang Maha Berkuasa ke atas semua hidupan di bumi ini dan selawat serta salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w kerana kami telah selamat sampai dan bertambah seronok lagi apabila mendapati penginapan kami tidak jauh dengan Dataran Masjid Nabawi. Kami boleh nampak cahaya Masjid Nabawi daripada tingkap bilik kami. Allahuakbar!

Suhu di Kota madinah sangat sejuk dan nyaman sekali. Hati saya sangat tenang di sini. Terdetik di dalam hati, patutlah Rasulullah s.a.w berhijrah ke Kota Madinah. Sebuah kota yang sangat nyaman dan tenang sekali. Subhanallah! Mulut saya terus terkumat kamit memohon kepada Allah s.w.t supaya dipermudahkan segala urusan kami sehingga berpeluang solat di Masjid Nabawi, dapat ziarah ke makam kekasih-NYA dan tempat-tempat yang diaturkan oleh Rayhar Travels. Malah saya mahu terus berulang alik sebanyak mungkin sepanjang berada di sini. Ya Allah yang maha mendengar permohonan hamba-hambanya, perkenankanlah doa hamba-MU ini.

Tanpa berlengah lagi, sebaik sahaja selesai urusan penyerahan kunci bilik masing-masing serta beg-beg pakaian kami, suami saya mengajak kami semua menuju ke lif untuk ke tingkat 13. Banyak kelihatan poster-poster yang memaparkan jadual dan perjalanan program-program dari agensi-agensi selain daripada agensi kami turut ditampal di ruang lobi. Setibanya di bilik, saya menyuruh Ummaira dan Umar mandi dahulu sebelum mereka tidur manakala saya mengeluarkan semua pakaian kami dan menyusunnya didalam almari yang disediakan oleh pihak hotel. 

Oleh kerana hati kami terlalu gembira dan teruja mungkin kerana ini adalah pertama kali kami menjejakkan kaki di Kota Madinah ini, kami tidak sempat pun tidur walau sekejap  kerana waktu subuh sudah pun hampir tiba. Tepat pukul 4.15 pagi, kami terus bersiap sedia untuk bersolat subuh di Masjid Nabawi. 

Rindu kami sedikit terubat. Cahaya lampu yang terang benderang menerangi sekeliling Masjid Nabawi. Berulang kali saya memanjatkan syukur dan membisikkan salam kepada Nabi Muhammad daripada jauh. 



Seorang isteri yang setia menemani suaminya.


Suasana subuh di perkarangan Masjid Nabawi.

Suasana Dalam masjid Nabawi

Bangunan di belakang adalah hotel penginapan kami. PEACE!
Sarapan Pagi Di Hotel Selepas Subuh






, "Ya Tuhanku, sesungguhnya Tanah Haram ini Tanah Haram Nabi-Mu, Muhammad dan Engkau sudah mengharamkannya menerusi kenyataan lisan nabi-Mu maka ku pohonkan dengan kemuliaannya jadikanlah ia sebagai perisai untuk diriku daripada api neraka dan keamanan daripada perhitungan yang tidak baik pada hari kiamat."









.................to be continued



1 comment: