Monday, February 4, 2013

Kembara Mata Hati




Syukur Ya Allah. Tak terkata rasanya apabila mendapat perkhabaran gembira dari pihak Rayhar Travel pada 6 januari 2013 lepas.

Alhamdulillah..saya, suami dan anak-anak telah diberi peluang untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini. Allah telah makbulkan doa kami. Dan Allah juga telah mempermudahkan segalanya buat kami.

" Maka yang mana satu diantara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan "(wahai umat manusia dan jin)?".

Semua nikmat MU benar Ya Allah! Tidak ada satu pun nikmat MU yang dapat kami dustakan.

Mengalir air mata kerinduan yang disimpan selama ini. Rindu dan rasa tidak sabar untuk mengunjungi makam Rasulullah s.a.w.

Sabda Rasulullah: Barangsiapa yang melawat masjidku tetapi tidak melawat makam ku, nescaya di akhirat esok tidak akan mendapat syafaatku.

Ya Allah, tidak sabar rasanya untuk berdiri dalam ihram dan melakukan tawaf mengelilingi Baitullah. Berdoa di hadapan rumah Mu. Meminum air zam zam dari telaga Mu yang penuh barakah. Segala-galanya..sesungguhnya rasa cinta ini tidak akan pernah padam. Malah semakin kuat sehingga kami menitiskan air mata kerinduan setiap kali memikirkannya.

Jadual penerbangan telah diperolehi dan dimaklumkan oleh pihak Rayhar Travel. InshaAllah, kami akan berlepas dari Terengganu terus ke Madinah pada pukul 7.30 petang pada 26 Febuari ini di LPT Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Kepada semua kawan-kawan, sahabat-sahabat yang mengenali diri ini, saya memohon maaf sekiranya saya ada membuat silap sepanjang perkenalan kita. Halalkan makan dan minum sekiranya ada. Sesungguhnya, saya juga merupakan manusia biasa yang sentiasa terlupa dan tersilap di dalam perbuatan dan tutur kata.

Doakan kami agar segala amal ibadat kami di sana nanti dipermudahkan dan mendapat umrah yang makbul. Sesungguhnya kembara kami kali ini adalah untuk membersihkan hati, memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti sifat mahmudah. InshaAllah, Allah akan membantu hambaNya yang berniat ke arah kebaikkan.

Semoga sahabat-sahabat saya juga akan berpeluang ke sana jika di izin Nya.

2 comments:

  1. tahniah awak!! saya tumpang gembira. soakan saya cepat menyusul jugak eh! :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih GB. Alhamdulillah. insha Allah.

      Delete